FARDU KIFAYAH DALAM ISLAM Masyarakat
Islam khususnya di Malaysia sering dikemukakan dengan persoalan fardu ain dan
fardu kifayah. Tetapi ramai antara kita barangkali tidak begitu jelas tentang
perbezaan kedua-dua istilah tersebut. Kita juga sering gagal membezakan
sesuatu itu fardu ain atau fardu kifayah. Untuk menghindarkan keliruan inilah
kita perlu melihat kepada perbezaan garis pemisah di antara kedua-dua konsep tersebut. Kegagalan memahaminya
menyebabkan individu Muslim sering menganggap fardu ain itu sebagai fardu
kifayah dan begitulah sebaliknya. Kesilapan seumpama ini menyebabkan
terabainya sesetengah dari ajaran Islam untuk dihayati secara amali dalam
kehidupan. Menurut
Ilmu Usul Fiqh, fardu ain atau dikenali juga dengan wajib ‘aini ditakrifkan
sebagai perbuatan yang wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang mukallaf seperti
sembahyang lima waktu dan sebagainya (A. Hanafi M.A., Usul Fiqh). Dari definasi tersebut dapatlah difahamkan bahawa
fardu ain adalah pekerjaan yang wajib dilakukan oleh setiap umat Islam dalam
keadaan individu Muslim itu cukup syarat-syaratnya seperti berakal, baligh
dan sebagainya. Seseorang
Muslim yang meninggalkan kewajiban ini menyebabkan dia menanggung dosa besar
di samping mengurangkan ciri-ciri kesempurnaan keislaman ke atas dirinya.
Dalam erti kata yang lebih singkat, fardu ain adalah kewajiban bagi setiap
individu Muslim. Sementara
itu fardu kifayah ditafsirkan sebagai “perbuatan yang wajib dilakukan oleh
seseorang atau sekumpulan anggota masyarakat Islam, tanpa melihat siapa yang
mengerjakannya. Apabila telah dilakukan maka hilanglah tuntutan kewajiban itu
terhadap orang lain. Tetapi apabila tidak ada seseorang pun yang
melakukannya, maka semuanya berdosa, seperti mendirikan tempat beribadat,
rumah sakit, menyembahyangkan mayat dan sebagainya(A. Hanafi M.A., Ibid). Dengan
lain-lain perkataan fardu kifayah adalah kefarduan yang wajib dikerjakan oleh
seseorang atau satu kumpulan yang mewakili masyarakat Islam, sebuah daerah
Islam, negeri ataupun negara. Apabila kefarduan itu telah disempurnakan, maka
kewajiban tersebut menjadi gugur bagi seluruh anggota masyarakat yang
terlibat Dengan
itu dapatlah ditegaskan bahawa fardu kifayah mempunyai ruang lingkup
yang luas yang melibatkan seluruh aspek
hidup seperti soal-soal ekonomi, politik dan perundangan, termasuk soal
ketenteraan dan lain-lain. Di
sini kita juga dapat melihat bahawa perbezaan yang ketara di antara dua
kewajiban ini ialah fardu ain wajib dilakukan oleh setiap individu Muslim
yang mukallaf, manakala fardu kifayah hanyalah wajib dikerjakan oleh
seseorang atau sekumpulan orang
sahaja. Perbezaan
yang lain adalah fardu ain merupakan kewajiban yang merupakan ibadat-ibadat
yang khusus dan fardu kifayah pula adalah kerja-kerja yang berkaitan dengan
kemasyarakatan dan kenegaraan. Dari
huraian di atas dapatlah difahamkan bahawa fardu ain adalah kerja-kerja
seorang Muslim yang lebih berhubungan dengan Khaliknya dan fardu kifayah pula
bersifat kemaslahatan dan kepentingan umat Islam yang lebih berhubungan
dengan makhluk di sekitarnya. Kepentingan
kedua-dua konsep tersebut terdapat dalam firman Allah yang bemaksud
“Ditimpakan ke atas mereka kehinaan di mana sahaja mereka berada kecuali
mereka yang berhubungan dengan tali Allah dan tali daripada manusia” (Ali
Imran 112), di mana tali Allah adalah hubungan peribadi yang bersifat fardu
ain dengannya, sementara tali dari manusia adalah kerja-kerja yang bersifat
fardu kifayah. Kesempurnaan
dan keindahan Islam tidak akan dapat dilihat jika kewajiban-kewajiban kifayah
ini diabaikan oleh masyarakat Islam. Islam
sebagai ajaran yang syumul (menyeluruh) berdasarkan manhaj rabbani
melibatkan proses pembinaan peribadi Muslim, keluarga dan umah Islam dan
khalifah Islam yang bersifat international.
Dalam proses pembinaan individu Muslim misalnya, penglibatan anggota
masyarakat sekitar adalah penting untuk melahirkan seorang Muslim yang baik
kerana individu Muslim tidak dapat dibina tanpa kerjasama para guru, kaum
ulama, masyarakat sekitar dan sebagainya yang melibatkan sistem pendidikan
dan etika Islam yang dihayati secara langsung oleh sesebuah masyarakat. Tingkah
laku sosial seseorang umpamanya amat terpengaruh dengan suasana persekitaran.
Keadaan sekeliling yang penuh dengan maksiat, pergaulan bebas ala Barat dan
sebagainya, adalah amat menyimpang dari ajaran Islam. Di
sinilah perlu diwujudkan suasana yang bercorak Islam atau persekitaran yang
selari dengan Islam jika kita ingin membentuk syaksiah Islamiah atau peribadi
Muslim. Dengan
demikian kewujudan persekitaran yang bercorak Islam menjadi fardu kifayah ke
atas sesebuah masyarakat Islam. Tanpa persekitaran yang seperti ini,
usaha-usaha kearah pembentukan peribadi Muslim akan menemui kegagalan kerana
memang tabiat manusia itu adalah amat dipengaruhi oleh suasana
persekitarannya. Usaha-usaha
pembinaan peribadi Muslim adalah tahap pertama dalam merealisasikan cita-cita
dan tujuan dari ajaran Islam yang syumul itu. Pembinaan peribadi Muslim
mestilah diikuti dengan pembentukan keluarga Islam, ummah Islamiah, negara
Islam, khalifah Islam dan seterusnya dunia
Islam. Tanpa
semuanya itu, Islam tidak akan dapat dilihat sebagai cara hidup yang lengkap
dan sempurna. Apalagi dalam keadan sekarang ini umat Islam menjadi pelarian,
rumah dan harta benda mereka dibakar, wanita-wanita mereka dizalimi dan
bebagai-bagai lagi kekejaman akibat peperangan dan ekspoitasi
ekonomi-politik. Negara-negara
umat Islam pula tidak mempunyai sebarang kekuatan, seluruh keperluan mereka
bergantung kepada negara-negara blok Barat dan Timur, khususnya negara-negara
kapitalis dan sosialis, terutama dalam bidang ekonomi, persenjataan,
pendidikan, kepakaran dan sebagainya. Seperti
yang telah disebutkan, kewajiban yang bercorak kifayah itu gugur apabila
telah ada seorang atau sekumpulan orang yang menunaikannya secara sempurna.
Proses pelaksanaan yang belum mencapai tahap kesempurnaan menyebabkan
kelompok masyarakat yang berkenaan masih dianggap berdosa. Contohnya
apabila dua atau tiga orang yang menguruskan jenazah dengan tidak mengikut
syarat dan rukun-rukunnya, maka anggota masyarakat yang lain masih dikira
berdosa. Ibnu Thaimiyah menegaskan bahawa “sesungguhnya para fuqaha Islam
pada keseluruhannya berpendapat tentang pertukangan dan perusahaan seperti
bertenun, pembinaan bangunan dan sebagainya adalah merupakan fardu kifayah.” Dalam
menunaikan tanggungjawab dakwah seperti menegakkan kebenaran dan mencegah
kemungkaran, Islam mengarahkan supaya perkara tersebut wajib dilakukan oleh
sekumpulan orang-orang Islam. Firman Allah bermaksud: “Dan hendaklah ada
diantara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada
yang makruf dan mencegah kemungkaran, dan mereka itulah orang-orang yang
beroleh kejayaan (Ali Imran: 104) Prof
Dr. Yusuf Al Qardawy dalam kitab Al-Hillul Islami telah menggariskan
bidang-bidang yang perlu digarap dan ditangani oleh umat Islam sama ada pihak
pemerintah maupun rakyat dalam proses mengembalikan semula kebangkitan umat
Islam seluruhnya untuk menghayati sistem yang sesuai dengan cita-cita Islam.
Bidang-bidang yang dimaksudkan ialah bidang-bidang kerohanian dan akhlak,
pendidikan dan kebudayaan, kemasyarakatan, ekonomi, ketenteraan, politik dan
perundangan. Tanpa
memperincikan perkara-perkara yang telah digariskan itu, kita masih dapat
melihat di mana keperluan-keperluan yang merangkumi bidang yang berperanan
dalam masyarakat Islam bermula dari individu hinggalah sampai ke peringkat
negara yang sekiranya benar-benar beroperasi secara yang dikehendaki
merupakan sumbangan terbesar terhadap kelansungan umat Islam itu sendiri. Keperluan
tersebut dapat dibahagikan kepada beberapa tahap atau peringkat seperti
peringkat kampung, daerah, negeri, negara dan peringkat internasional. Dari
pemaparan ini, kita melihat bahawa keperluan untuk mewujudkan sebuah wilayah
Islam yang bermula dari pembentukan individu sehinggalah dunia Islam
antarabangsa masih terlalu jauh dari realiti. Satu proses perubahan yang
menyeluruh perlu dilakukan untuk mencapai dan menjamin terwujudnya
perkara-perkara di atas, sehingga Islam dapat menjadi satu kuasa yang besar
dan dihormati. Di
sini harapan tersebut tidak akan tercapai sekiranya umat Islam masih lagi
memandang ringan terhadap kepentingan fardu kifayah. Umat Islam sewajibnya
memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap kefarduan ini. Tanpa tumpuan
yang bersungguh-sungguh terhadap aspek ini, idealisme Islam tidak akan
tercapai dan ia akan hanya menjadi satu utopia sepertimana yang dilemparkan
oleh musuh-musuh Islam. AlKundangi, Februari,2001. |